Parit Kotor!!!

Sewaktu saya sedang melepaskan lelah sebentar di simpang jalan, saya terpandang satu keadaan yang amat menjijikkan. Saliran atau lebih dikenali sebagai 'parit' terlalu kotor. Keadaan ini boleh menyebabkan aliran tersumbat dan boleh memburukkan keadaan seperti banjir besar yang berlaku pada tahun 2006. Saya harap pihak berwajib dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan pantas.

Beginilah keadaannya.










Gambaran Alam Mahsyar

Rujukan:

Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.


ALAM MAHSYAR

1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yg lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yg tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
2. Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya 'Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?' Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya 'Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa'. Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

3. Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padangMahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

4. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yg kembang membesar dari biji benih.

5. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

6. Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

7. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

8. Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta'ala. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

9. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

10. Terdapat satu kolam kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

11. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

i. Pemimpin yang adil.
ii. Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
iii. Lelaki yang terikat hatinya dgn masjid.
iv. Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
v. Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
vi. Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
vii. Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.


12. Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah Ta'ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

13. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah Ta'ala. Lalu diperkenankan doa baginda.

14. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah Arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga Arasy itu tiba dibumi.

15. Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

16. Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

17. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulisoleh malaikat Hafazhah / Raqib & Atid / Kiraman Katibin.

18. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

19. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w., dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

20. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

21. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

22. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

23. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

24. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.

25. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

26. Syafaat Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat :

a. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
b. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
c. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta'ala.


27. Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70000 orang yang lain.

28. Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

29. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

30. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.


Nauzubillah!!

Kedatangan Bulan Ramadhan

Esok seluruh umat islam akan menyambut ketibaan Ramadhan. Setiap tahun kedatangan Ramadhan disambut dengan penuh keinsafan. Pada waktu ini dapat dilihat umat islam berlumba-lumba untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Di Baruhean, kedatangan Ramadhan setiap tahun akan disambut dengan gembiranya. Di sini penulis akan menitipkan beberapa aktiviti yang telah dirancangkan, dan aktiviti ini telah diadakan setiap tahun.Bermula pada malam pertama, tadarus Al-Quran akan diadakan selepas selesai solat tarawih. Ahli-ahli kariah surau Baruhean akan berkumpul beramai-ramai, tidak kira yang tua atau yang muda untuk membaca Al-Quran. Setiap malam satu juzuk perlu dihabiskan.

Pada malam ketujuh belas, akan diadakan satu majlis khatam Al-Quran, dimana mengikut sirah pada waktu ini Al-Quran pertama kali diturunkan kepada Rasulullah. Perkataan Nuzul bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran.

Apabila tiba di penghujung Ramadhan, Gerakan Pemuda Baruhean akan memasang pelita di sepanjang jalan kampung bermula dari rumah pertama sehingga rumah terakhir. Tiga malam terakhir akan dinyalakan pelita, dan tahun ini tabung pemuda telah berjanji untuk menampung kos membeli minyak tanah.

Walaupun amalan memasang pelita ini tidak terdapat dalam ajaran islam, tetapi Gerakan Pemuda Baruhean memasang atas inisiatif sendiri, kerana beranggapan untuk menerangi jalan. Sumbangan yang diterima adalah dari kalangan penduduk kampung sendiri, tidak diwarnai oleh mana-mana parti politik.

Dan akhir kata dari penulis, selamat menyambut ketibaan Ramadhan dengan rasa penuh syukur atas nikmat yang diberikan oleh Yang Maha Pencipta selama ini. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna kepada kita semua.

Salam Ramadhan...

Ceramah Isra' Mikraj 2009

Bertempat di surau Baruhean yang kecil, telah berlangsungnya satu ceramah bersempena dengan kehadiran Isra' Mikraj yang lalu. Penulis berkesempatan untuk turun padang dan meninggalkan kerja-kerja di pejabat semata-mata untuk memeriahkan lagi majlis ceramah kali ini.

Ceramah yang diadakan tidaklah begitu hebat seperti ceramah dari Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, cukup sekadar memberi peringatan dan pengajaran dari peristiwa yang berlaku. Penceramah adalah seorang Imam kedua dari Masjid Telok Rimba, yang terletak agak jauh dari Baruhean. Dan kelewatan tidak mengganggu gugat perjalanan majlis pada malam itu.

Pembuka bicara, penceramah mengingatkan tentang peristiwa perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Dan seterusnya penceramah membuat kaitan dari peristiwa itu dengan perjalanan sekarang. Banyak yang diceritakan yang penulis tidak dapat titipkan disini. Antaranya mengenai solat yang menjadi tujuan utama Isra' Mikraj.

Solat itu tiang agama, dan Allah memberi kelonggaran kepada musafir untuk menunaikan solat dengan menggabungkan solat-solat tertentu. Dan penceramah menceritakan tentang kejadian yang dialaminya sendiri. Dan penulis agak terkejut apabila penceramah menangis semasa menceritakan kejadian itu.

Walaupun ceramah yang diadakan hanay mengambil masa selama satu jam, tetapi pengolahan yang amat menarik telah memberi kesan mendalam kepada hadirin yang terdiri daripada orang-orang kampung. Kanak-kanak juga amat tekun mendengar, dan penulis harap kanak-kanak ini akan menjadikan pengisian ceramah ini sebagai salah satu panduan hidup mereka.

Berikut adalah beberapa gambar yang sempat dirakamkan oleh penulis.

Baryani Gam - Cara Penyediaan (Bergambar)

Dalam kesempatan hadir pada malam sebelum majlis perkahwinan sepupu, saya telah terfikir untuk memuatkan blog ini dengan aktiviti rewang (kendarat-gotong royong) semasa sebelum majlis perkahwinan berlangsung (waktu malam). Tetapi tiba-tiba saya mula mengalihkan tajuk utama kepada penyediaan nasi baryani gam.

Kenapa baryani gam? Kerana nasi ini sangat istimewa dan memandangkan asalnya pun dari negeri Johor dalam daerah Batu Pahat (kalau tak silap daerah Muar pun popular dengan masakan ini). Dan kesempatan ini juga membolehkan saya bertanya kepada chef a.k.a tukang masak yang amat dikenali oleh penduduk kampung tentang cara-cara penyediaan nasi baryani gam ini.

Walaupun penat bekerja pada siang hari masih terasa, tetapi keinginan untuk mengetahui cara memasak sudah cukup membuatkan saya bersengkang mata. Saya sempat mengambil beberapa gambar untuk dijadikan bahan bukti pembuatan baryani gam ini. berikut adalah cara-cara penyediaan yang tidak mengikut turutan.
  1. Gam daging - hendak disembelih lembu dan dilapah dagingnya. Bagi kes ini 3 ekor lembu telah dikorbankan.
  2. Daging itu kemudian akan diperam dengan ramuan tertentu sebelum ditempatkan dalam beberapa periuk besar ( dalam 3/4 daripada kapasiti periuk itu).
  3. Sehelai kain putih akan dialas di atas timbunan daging tadi sehingga menutup keseluruhan daging di bawahnya.
  4. Beras terpilih (biasanya gred yang tinggi) akan dimasak sehingga 3/4 matang dimana kuantiti air adalah lebih banyak dari beras dan dicampur dengan ramuan tertentu. Nasi ini hendaklah dijaga dengan rapi untuk mengelakkan terlebih masak.
  5. Kemudian nasi yang sudah masak 3/4 tadi akan dikumpulkan sebelum ditaburkan di atas timbunan daging yang ditutup kain putih tadi. Langkah ini dilakukan dengan cepat agar nasi tadi tidak menjadi keras.
  6. Semasa meratakan nasi, minyak akan diletakkan sedikit demi sedikit untuk menampakkan warna baryani itu.
  7. Setelah selesai meratakan, tepung yang sudah diuli akan diletakkan di keliling bibir periuk tersebut. Tepung ini yang dinamakan gam, bagi mengelakkan wap keluar dari periuk.
  8. Selepas itu, periuk tersebut akan ditutup rapat dan diletakkan di atas api. Periuk itu akan ditindih dengan batu bagi memampatkan lagi gam tersebut.
  9. Nasi akan masak sepenuhnya selepas kira-kira 4 jam di atas api. Apabila wap berjaya membuka gam tersebut, itu petandanya nasi sudah masak.
Menurut chef, kenapa dinamakan baryani gam adalah kerana wap daripada daging itu akan naik ke atas dan cuba keluar dari penutup periuk itu. Tetapi bila penutup sudah digam dengan tepung, wap itu akan membuatkan nasi yang 3/4 masak menjadi masak sepenuhnya. Proses ini berlaku sehingga berlaku kebocoran pada gam tadi, menandakan wap sudah terlau banyak dan nasi sudah masak. DAn daging yang dibawahnya akan masak juga. Daging itu akan digunakan semula untuk memasak nasi yang lain.

Chef juga menerangkan pada zaman dahulu mereka memasak menggunakan belanga dan lebih mudah kerana bahagian atas yang kecil. Gam yang digunakan juga tidak banyak. Oleh kerana penerangan tidak begitu teratur, saya cadangkan lihat sahaja gambar-gambar di bawah:






Daging yang telah diperam dan ditutup dengan kain










Nasi sedang dimasak 3/4








Nasi sudah masak 3/4 dan diletakkan ke dalam bakul merah











Bakul merah








Nasi diratakan di dalam periuk sambil dimandikan dengan minyak










Sudah selesai











Tepung diletak keliling bibir periuk






Masa untuk memasak, lihat batu menindih tudung periuk dan tepung menutup keseluruhan ruang penutup

Ribut Melanda Baruhean dan Sekitarnya

LEDANG, 23 Mei - Satu kejadian ribut serta angin pusar berlaku di beberapa kampung yang terletak dalam kawasan Ledang. Tempat tempat yang terlibat adalah Kampung Serom 5, Serom 6, Serom 8, Parit Pulai dan Kampung Simpang 5 Darat.

Wartawan Baruhean telah melaporkan kejadian ini berlaku kira-kira jam 3.00 petang dimana angin kuat disertai dengan hujan lebat telah turun di beberapa kawasan yang terlibat. Hujan lebat hanya turun selama kira-kira 10 minit, akan tetapi angin kuat telah menyebabkan terjadinya angin pusar.

Angin pusar yang terjadi mengakibatkan kemusnahan tanam-tanaman dan harta benda termasuk rumah-rumah penduduk yang terlibat. Antaranya pokok-pokok getah tumbang, tiang-tiang elektrik dan tiang-tiang telefon patah, bumbung diterbangkan angin dan sebagainya. Pada waktu kejadian berlaku, kebanyakan penduduk sedang beristirehat di rumah.

Setelah selesai kejadian, difahamkan beberapa jentera bomba dikejarkan ke kampung-kampung terlibat untuk membantu penduduk kampung yang dilanda ribut. Beberapa petugas TNB dan TM berada di beberapa tempat yang difikirkan kritikal sebelum membaiki harta benda mereka.

Hasil pemerhatian skuad Baruhean, kejadian seumpama ini adalah yang pertama dalam tempoh 10 tahun. Angin pusar didakwa terhenti di Kampung Simpang 5 Darat dengan kesan yang dahsyat dihadapi penduduk kampung. Sehingga tengah malam, ada di kalangan penduduk kampung yang terpaksa bergelap akibat talian elektrik terputus di pencawang. Skuad Baruhean telah meminta pihak berkenaan untuk menyegerakan membaikpulih talian kerana bimbang akan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ada beberapa penduduk kampung yang membuat laporan polis berhubung kejadian ini dan berharap YB kawasan terlibat untuk turun padang. Akan tetapi harapan itu sia-sia apabila tidak ada seorang pun YB yang muncul. Mungkin kejadian ini tidak mendapat perhatian ketua kampung, tetapi sepatutnya ketua kampung lebih peka dengan kejadian yang berlaku di kampung sendiri. Ini tidak, batang hidung pun tidak kelihatan.

Selang beberapa hari, Menteri Besar Johor telah melakukan lawatan di kampung tertentu. Beliau telah mengusahakan agar penduduk yang terlibat diberi bantuan atas kemusnahan harta dan tanaman. Akan tetapi terdapat dua kawasan DUN yang terlibat, iaitu DUN Serom dan DUN Gambir. Penduduk DUN Serom sangat bernasib baik kerana Menteri Besar Johor berasal dari DUN Serom. Akan tetapi penduduk di DUN Gambir hampa apabila YB yang menjaga kawasan ini tidak bertanyakan sesuatu kepada penduduk. Dan skuad Baruhean terpaksa menyalahkan ketua kampung yang tidak prihatin serta lambat bertindak.

Selepas kejadian ini berlaku, diharap pihak-pihak yang berkenaan lebih prihatin dengan permasalahan penduduk kampung. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada pihak-pihak yang membantu penduduk membersihkan dan membaiki kerosakan. Semoga kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang.

Parti Politik dan Muafakat

Di Baruhean, ada dua parti politik yang di berjaya menambat hati penduduk di sini. Parti itu ialah UMNO dan PAS. Keistimewaannya, ketua bahagian setiap parti politik berjiran dan mempunyai pertalian keluarga.

Kebanyakan aktiviti di Baruhean tidak membezakan fahaman politik. Jika ada kenduri kahwin, semua penduduk akan bertungkus lumus siang dan malam untuk menjayakannya. Inilah yang dinamakan muafakat. Setiap penduduk tidak mengambil hati dan tidak memilih bulu dalam menjalankan kehidupan seharian.

Di Baruhean juga disediakan sebuah balai raya untuk dijadikan tempat bermesyuarat. Pada asalnya balai raya ini kepunyaan UMNO, didirikan di atas tanah wakaf. Pada waktu itu ketua bahagian berasal dari luar Baruhean. Apabila dia disingkirkan, balai raya ini dijadikan kegunaan umum. Dan kebanyakan mesyuarat samada belia kampung atau JKKK diadakan di balai raya ini.

Dan kerjasama yang ditunjukkan oleh setiap penduduk amat membanggakan. Mereka tidak pernah berbalah atas fahaman politik, sebaliknya berdebat untuk menentukan kebenaran. Ini dapat dilihat dengan mesyuarat yang diadakan di surau selepas solat Maghrib pada setiap malam Jumaat. Setiap cadangan dikaji dahulu sebelum diterima sebulat suara. Jika ada yang tidak berpuas hati, masih boleh membangkang, dan akan dikaji semula sebelum diluluskan.

Pada masa yang lain, banyak lagi akan ditulis mengenai kesepakatan penduduk Baruhean dalam kehidupan seharian. Dan parti politik tidak dapat mempengaruhi kemuafakatan yang telah terjalin sejak dahulu lagi. Semoga budaya bermuafakat ini akan kekal selamanya.
 

Terima kasih daripada pengurusan BaruheaN