Ribut Melanda Baruhean dan Sekitarnya

LEDANG, 23 Mei - Satu kejadian ribut serta angin pusar berlaku di beberapa kampung yang terletak dalam kawasan Ledang. Tempat tempat yang terlibat adalah Kampung Serom 5, Serom 6, Serom 8, Parit Pulai dan Kampung Simpang 5 Darat.

Wartawan Baruhean telah melaporkan kejadian ini berlaku kira-kira jam 3.00 petang dimana angin kuat disertai dengan hujan lebat telah turun di beberapa kawasan yang terlibat. Hujan lebat hanya turun selama kira-kira 10 minit, akan tetapi angin kuat telah menyebabkan terjadinya angin pusar.

Angin pusar yang terjadi mengakibatkan kemusnahan tanam-tanaman dan harta benda termasuk rumah-rumah penduduk yang terlibat. Antaranya pokok-pokok getah tumbang, tiang-tiang elektrik dan tiang-tiang telefon patah, bumbung diterbangkan angin dan sebagainya. Pada waktu kejadian berlaku, kebanyakan penduduk sedang beristirehat di rumah.

Setelah selesai kejadian, difahamkan beberapa jentera bomba dikejarkan ke kampung-kampung terlibat untuk membantu penduduk kampung yang dilanda ribut. Beberapa petugas TNB dan TM berada di beberapa tempat yang difikirkan kritikal sebelum membaiki harta benda mereka.

Hasil pemerhatian skuad Baruhean, kejadian seumpama ini adalah yang pertama dalam tempoh 10 tahun. Angin pusar didakwa terhenti di Kampung Simpang 5 Darat dengan kesan yang dahsyat dihadapi penduduk kampung. Sehingga tengah malam, ada di kalangan penduduk kampung yang terpaksa bergelap akibat talian elektrik terputus di pencawang. Skuad Baruhean telah meminta pihak berkenaan untuk menyegerakan membaikpulih talian kerana bimbang akan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ada beberapa penduduk kampung yang membuat laporan polis berhubung kejadian ini dan berharap YB kawasan terlibat untuk turun padang. Akan tetapi harapan itu sia-sia apabila tidak ada seorang pun YB yang muncul. Mungkin kejadian ini tidak mendapat perhatian ketua kampung, tetapi sepatutnya ketua kampung lebih peka dengan kejadian yang berlaku di kampung sendiri. Ini tidak, batang hidung pun tidak kelihatan.

Selang beberapa hari, Menteri Besar Johor telah melakukan lawatan di kampung tertentu. Beliau telah mengusahakan agar penduduk yang terlibat diberi bantuan atas kemusnahan harta dan tanaman. Akan tetapi terdapat dua kawasan DUN yang terlibat, iaitu DUN Serom dan DUN Gambir. Penduduk DUN Serom sangat bernasib baik kerana Menteri Besar Johor berasal dari DUN Serom. Akan tetapi penduduk di DUN Gambir hampa apabila YB yang menjaga kawasan ini tidak bertanyakan sesuatu kepada penduduk. Dan skuad Baruhean terpaksa menyalahkan ketua kampung yang tidak prihatin serta lambat bertindak.

Selepas kejadian ini berlaku, diharap pihak-pihak yang berkenaan lebih prihatin dengan permasalahan penduduk kampung. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada pihak-pihak yang membantu penduduk membersihkan dan membaiki kerosakan. Semoga kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang.

0 comments:

Catat Ulasan

 

Terima kasih daripada pengurusan BaruheaN