Kedatangan Bulan Ramadhan

Esok seluruh umat islam akan menyambut ketibaan Ramadhan. Setiap tahun kedatangan Ramadhan disambut dengan penuh keinsafan. Pada waktu ini dapat dilihat umat islam berlumba-lumba untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Di Baruhean, kedatangan Ramadhan setiap tahun akan disambut dengan gembiranya. Di sini penulis akan menitipkan beberapa aktiviti yang telah dirancangkan, dan aktiviti ini telah diadakan setiap tahun.Bermula pada malam pertama, tadarus Al-Quran akan diadakan selepas selesai solat tarawih. Ahli-ahli kariah surau Baruhean akan berkumpul beramai-ramai, tidak kira yang tua atau yang muda untuk membaca Al-Quran. Setiap malam satu juzuk perlu dihabiskan.

Pada malam ketujuh belas, akan diadakan satu majlis khatam Al-Quran, dimana mengikut sirah pada waktu ini Al-Quran pertama kali diturunkan kepada Rasulullah. Perkataan Nuzul bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran.

Apabila tiba di penghujung Ramadhan, Gerakan Pemuda Baruhean akan memasang pelita di sepanjang jalan kampung bermula dari rumah pertama sehingga rumah terakhir. Tiga malam terakhir akan dinyalakan pelita, dan tahun ini tabung pemuda telah berjanji untuk menampung kos membeli minyak tanah.

Walaupun amalan memasang pelita ini tidak terdapat dalam ajaran islam, tetapi Gerakan Pemuda Baruhean memasang atas inisiatif sendiri, kerana beranggapan untuk menerangi jalan. Sumbangan yang diterima adalah dari kalangan penduduk kampung sendiri, tidak diwarnai oleh mana-mana parti politik.

Dan akhir kata dari penulis, selamat menyambut ketibaan Ramadhan dengan rasa penuh syukur atas nikmat yang diberikan oleh Yang Maha Pencipta selama ini. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna kepada kita semua.

Salam Ramadhan...

Ceramah Isra' Mikraj 2009

Bertempat di surau Baruhean yang kecil, telah berlangsungnya satu ceramah bersempena dengan kehadiran Isra' Mikraj yang lalu. Penulis berkesempatan untuk turun padang dan meninggalkan kerja-kerja di pejabat semata-mata untuk memeriahkan lagi majlis ceramah kali ini.

Ceramah yang diadakan tidaklah begitu hebat seperti ceramah dari Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, cukup sekadar memberi peringatan dan pengajaran dari peristiwa yang berlaku. Penceramah adalah seorang Imam kedua dari Masjid Telok Rimba, yang terletak agak jauh dari Baruhean. Dan kelewatan tidak mengganggu gugat perjalanan majlis pada malam itu.

Pembuka bicara, penceramah mengingatkan tentang peristiwa perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Dan seterusnya penceramah membuat kaitan dari peristiwa itu dengan perjalanan sekarang. Banyak yang diceritakan yang penulis tidak dapat titipkan disini. Antaranya mengenai solat yang menjadi tujuan utama Isra' Mikraj.

Solat itu tiang agama, dan Allah memberi kelonggaran kepada musafir untuk menunaikan solat dengan menggabungkan solat-solat tertentu. Dan penceramah menceritakan tentang kejadian yang dialaminya sendiri. Dan penulis agak terkejut apabila penceramah menangis semasa menceritakan kejadian itu.

Walaupun ceramah yang diadakan hanay mengambil masa selama satu jam, tetapi pengolahan yang amat menarik telah memberi kesan mendalam kepada hadirin yang terdiri daripada orang-orang kampung. Kanak-kanak juga amat tekun mendengar, dan penulis harap kanak-kanak ini akan menjadikan pengisian ceramah ini sebagai salah satu panduan hidup mereka.

Berikut adalah beberapa gambar yang sempat dirakamkan oleh penulis.

Baryani Gam - Cara Penyediaan (Bergambar)

Dalam kesempatan hadir pada malam sebelum majlis perkahwinan sepupu, saya telah terfikir untuk memuatkan blog ini dengan aktiviti rewang (kendarat-gotong royong) semasa sebelum majlis perkahwinan berlangsung (waktu malam). Tetapi tiba-tiba saya mula mengalihkan tajuk utama kepada penyediaan nasi baryani gam.

Kenapa baryani gam? Kerana nasi ini sangat istimewa dan memandangkan asalnya pun dari negeri Johor dalam daerah Batu Pahat (kalau tak silap daerah Muar pun popular dengan masakan ini). Dan kesempatan ini juga membolehkan saya bertanya kepada chef a.k.a tukang masak yang amat dikenali oleh penduduk kampung tentang cara-cara penyediaan nasi baryani gam ini.

Walaupun penat bekerja pada siang hari masih terasa, tetapi keinginan untuk mengetahui cara memasak sudah cukup membuatkan saya bersengkang mata. Saya sempat mengambil beberapa gambar untuk dijadikan bahan bukti pembuatan baryani gam ini. berikut adalah cara-cara penyediaan yang tidak mengikut turutan.
  1. Gam daging - hendak disembelih lembu dan dilapah dagingnya. Bagi kes ini 3 ekor lembu telah dikorbankan.
  2. Daging itu kemudian akan diperam dengan ramuan tertentu sebelum ditempatkan dalam beberapa periuk besar ( dalam 3/4 daripada kapasiti periuk itu).
  3. Sehelai kain putih akan dialas di atas timbunan daging tadi sehingga menutup keseluruhan daging di bawahnya.
  4. Beras terpilih (biasanya gred yang tinggi) akan dimasak sehingga 3/4 matang dimana kuantiti air adalah lebih banyak dari beras dan dicampur dengan ramuan tertentu. Nasi ini hendaklah dijaga dengan rapi untuk mengelakkan terlebih masak.
  5. Kemudian nasi yang sudah masak 3/4 tadi akan dikumpulkan sebelum ditaburkan di atas timbunan daging yang ditutup kain putih tadi. Langkah ini dilakukan dengan cepat agar nasi tadi tidak menjadi keras.
  6. Semasa meratakan nasi, minyak akan diletakkan sedikit demi sedikit untuk menampakkan warna baryani itu.
  7. Setelah selesai meratakan, tepung yang sudah diuli akan diletakkan di keliling bibir periuk tersebut. Tepung ini yang dinamakan gam, bagi mengelakkan wap keluar dari periuk.
  8. Selepas itu, periuk tersebut akan ditutup rapat dan diletakkan di atas api. Periuk itu akan ditindih dengan batu bagi memampatkan lagi gam tersebut.
  9. Nasi akan masak sepenuhnya selepas kira-kira 4 jam di atas api. Apabila wap berjaya membuka gam tersebut, itu petandanya nasi sudah masak.
Menurut chef, kenapa dinamakan baryani gam adalah kerana wap daripada daging itu akan naik ke atas dan cuba keluar dari penutup periuk itu. Tetapi bila penutup sudah digam dengan tepung, wap itu akan membuatkan nasi yang 3/4 masak menjadi masak sepenuhnya. Proses ini berlaku sehingga berlaku kebocoran pada gam tadi, menandakan wap sudah terlau banyak dan nasi sudah masak. DAn daging yang dibawahnya akan masak juga. Daging itu akan digunakan semula untuk memasak nasi yang lain.

Chef juga menerangkan pada zaman dahulu mereka memasak menggunakan belanga dan lebih mudah kerana bahagian atas yang kecil. Gam yang digunakan juga tidak banyak. Oleh kerana penerangan tidak begitu teratur, saya cadangkan lihat sahaja gambar-gambar di bawah:






Daging yang telah diperam dan ditutup dengan kain










Nasi sedang dimasak 3/4








Nasi sudah masak 3/4 dan diletakkan ke dalam bakul merah











Bakul merah








Nasi diratakan di dalam periuk sambil dimandikan dengan minyak










Sudah selesai











Tepung diletak keliling bibir periuk






Masa untuk memasak, lihat batu menindih tudung periuk dan tepung menutup keseluruhan ruang penutup
 

Terima kasih daripada pengurusan BaruheaN