Kedatangan Bulan Ramadhan

Esok seluruh umat islam akan menyambut ketibaan Ramadhan. Setiap tahun kedatangan Ramadhan disambut dengan penuh keinsafan. Pada waktu ini dapat dilihat umat islam berlumba-lumba untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Di Baruhean, kedatangan Ramadhan setiap tahun akan disambut dengan gembiranya. Di sini penulis akan menitipkan beberapa aktiviti yang telah dirancangkan, dan aktiviti ini telah diadakan setiap tahun.Bermula pada malam pertama, tadarus Al-Quran akan diadakan selepas selesai solat tarawih. Ahli-ahli kariah surau Baruhean akan berkumpul beramai-ramai, tidak kira yang tua atau yang muda untuk membaca Al-Quran. Setiap malam satu juzuk perlu dihabiskan.

Pada malam ketujuh belas, akan diadakan satu majlis khatam Al-Quran, dimana mengikut sirah pada waktu ini Al-Quran pertama kali diturunkan kepada Rasulullah. Perkataan Nuzul bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran.

Apabila tiba di penghujung Ramadhan, Gerakan Pemuda Baruhean akan memasang pelita di sepanjang jalan kampung bermula dari rumah pertama sehingga rumah terakhir. Tiga malam terakhir akan dinyalakan pelita, dan tahun ini tabung pemuda telah berjanji untuk menampung kos membeli minyak tanah.

Walaupun amalan memasang pelita ini tidak terdapat dalam ajaran islam, tetapi Gerakan Pemuda Baruhean memasang atas inisiatif sendiri, kerana beranggapan untuk menerangi jalan. Sumbangan yang diterima adalah dari kalangan penduduk kampung sendiri, tidak diwarnai oleh mana-mana parti politik.

Dan akhir kata dari penulis, selamat menyambut ketibaan Ramadhan dengan rasa penuh syukur atas nikmat yang diberikan oleh Yang Maha Pencipta selama ini. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna kepada kita semua.

Salam Ramadhan...

0 comments:

Catat Ulasan

 

Terima kasih daripada pengurusan BaruheaN